Ketua Eksekutif, MiCOST, Prof. Dato' Dr, Mohd Razali Agus berkata, Herba Rawat Kanser yang dihasilkan oleh Dr. Nurmawati Syakroni dari UPM bakal dikomersialkan melalui penubuhan Pusat Penyelidikan Farmaseutikal Tanaman Herba MiCOST, sedikit masa lagi. Katanya, Herba Rawat Kanser tersebut dilihat berkesan bagi menyembuhkan penyakit kanser tahap 1, 2, 3 dan 4.
"Beberapa pesakit yang mengambil Herba Rawat Kanser mula memperlihatkan tanda-tanda positif untuk sembuh dan ini telah menyakinkan kami untuk mengketengahkan herba berkenaan untuk pasaran komersial," ujarnya ketika ditemui selepas melawat Mohd Fariz Mohd Zin, 16 yang menghidap ketumbuhan dipercayai kanser di Kampung Pantai Belimbing, di sini petang tadi.
Mohd Razali memberitahu, beliau telah memberikan Herba Penawar Kanser dan Minyak Kelapa Dara kepada Mohd Fariz sejak sebulan lalu. "Alhamdulillah, ketumbuhan yang dideritai mulai susut, berbanding keadaannya sebelum ini," jelas beliau. Katanya, MiCOST bersama Dr. Nurmawati yang juga pakar rujuk dan perunding kehormat MiCOST akan membuat pemantauan lanjut tentang penyakit yang dideritai Mohd Rizal.
Sementara itu, Mohd Rizal ketika ditemui berkata, terdapat beberapa perubahan yang dirasai setelah mengambil Herba Rawatan Kanser itu. "Saya rasa ada perubahan sedikit. Bengkak di bahagian pipi juga mulai susut dan tak rasa berat sangat seperti sebelum ini. Atas nasihat Dr. Razali dan Dr. Nurmawati, InsyaAllah saya akan terus mengambil herba berkenaan," ujarnya yang juga pelajar SMK Seri Pengkalan.
Sumber: Melaka Hari Ini