Sembuh Selepas Enam Tahun


SETIAP orang mungkin pernah merasa gatal-gatal, sehingga terpaksa menggaru bahagian berkenaan. Tetapi pernahkah anda terasa gatal sehingga terpaksa menggaru seluruh badan? Lebih perit jika bahagian yang digaru itu mengelupas.

Keadaan inilah yang dialami oleh Hafizal Idris, 26, selama enam tahun.

Ketika baru menginjak dewasa, sakit kulit yang dialami mengubah hidupnya.

Dia tidak boleh aktif seperti anak muda lain sebaliknya terpaksa mengurung diri di rumah.

Akibat penyakit kronik itu, kulit Hafizal bersisik kemerah-merahan, rambut gugur dan berat badan menyusut.

"Saya terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai kerana penyakit saya semakin kronik. Tidak mungkin saya keluar dengan keadaan seperti ini," keluh anak sulung daripada empat beradik ini.

Setiap hari ibunya, Faridah Bakar, 50, akan menyapu ubat ke seluruh badan manakala bapanya, Idris Sidik, 52, mencari rezeki tambahan untuk menampung kos perubatannya.

Syukurlah, penderitaan Hafizal akhirnya mendapat perhatian seorang usahawan herba, Dr. Nurmawati Syakroni yang menghulurkan rawatan secara percuma.

Setelah hampir sebulan rawatan diberikan, penyakitnya pulih dan Hafizal mampu bekerja seperti biasa.

Dr. Nurmawati tertarik untuk membantu Hafizal selepas membaca kisahnya yang disiarkan akhbar pada Januari lalu.
Keratan akhbar tentang penyakit Hafizal
"Saya kemudian menghubungi Idris menerusi telefon dan menghantar herba minyak kelapa dara, alahan dan anti virus untuk tujuan merawat penyakit tersebut. Tidak lama selepas itu, saya mendapat panggilan daripada Idris beberapa kali yang memberitahu keadaan Hafizal semakin baik," ceritanya yang kemudian mengunjungi pemuda itu di Kampung Pokok Setol, Mukim Siong, Baling, Kedah.

Utusan Malaysia pada 31 Januari lalu melaporkan Hafizal sengsara akibat penyakit kulit yang dihidapi dan semakin melarat sejak dua bulan lalu apabila keseluruhan badannya mengelupas.

"Semasa Hafizal mendapat rawatan di Hospital Baling, memang terdapat perubahan tetapi tidak lama kerana keadaannya kembali seperti asal.

"Selepas kisah Hafizal disiarkan akhbar, ramai yang menghulurkan bantuan kewangan dan ubat-ubatan. Kemudian, kami sekeluarga memberanikan diri mencuba ubat yang diberikan Dr. Nurmawati. Alhamdulillah, hasilnya baik," katanya.

Tambah Idris, selepas mencuba produk herba tersebut selama 10 hari, terdapat perubahan pada kulit Hafizal.

Kini tiada lagi sisik dan tanda merah.

"Lebih membahagiakan kami sekeluarga, Hafizal semakin yakin dan dapat bekerja semula," katanya sambil berterima kasih kepada Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Dr. Nurmawati dan orang ramai yang selama ini banyak membantu.

Idris dan keluarga sentiasa memberi sokongan moral kepada Hafizal agar dia tidak kecewa dan terus tabah meneruskan kehidupannya.

"Saya bersyukur sebab Hafizal tidak pernah mengeluh dan reda dengan ketentuan-Nya.

"Kesabarannya ternyata berbaloi kerana sekarang dia semakin pulih dan bersemangat," katanya menutup bicara.

* Terima kasih An Nabaat Sdn. Bhd, Bandar Baru Bangi, Selangor. An Nabaat bakal dipasarkan oleh MK1, Sakamoto di Jepun. (Dali: 019-4504905)

Sumber: utusan.com.my

Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Mingguan Malaysia, pada Ahad 25/3/2012