Jangan Campurkan Susu dan Teh


Selain air putih (air kosong), teh adalah minuman yang paling banyak diminum di seluruh dunia. Kandungan antioksidan, vitamin, dan komponen lain yang ada di dalam teh membuat teh dipercayai sebagai minuman untuk meningkatkan ketahanan tubuh dan mencegah kanser.

Beberapa kajian juga menunjukkan teh mampu mencegah gigi berlubang, mengawal kadar gula darah, dan menyihatkan jantung.

Di banyak tempat, teh seringkali dihidangkan bersama dengan susu (contoh: Teh Tarik). Meskipun hasilnya lebih sedap, tetapi kajian menyebutkan menambahkan susu ke dalam teh mengakibatkan terhapusnya kandungan berkhasiat yang ada di dalam teh.

Dalam kajian yang dipublikasikan di The European Heart Journal, para penyelidik telah menguji 16 orang dewasa sihat yang diminta minum secawan teh hitam, teh hitam dicampur dengan sedikit susu tanpa lemak, serta air yang dimasak. Kemudian fungsi vaskular para responden diukur.

Jika dibandingkan dengan air, teh hitam secara signifikan meningkatkan fungsi arteri. Tetapi penambahan sedikit susu bahkan menyebabkan khasiat teh itu tidak terlihat.

Para penyelidik kemudian mengulanginya pada tikus dan mendapati hasil yang sama. Menurut para pakar, protein dalam susu akan mengikat dan menghapuskan antioksidan dalam teh. Perbandingan susu itu sendiri bahkan berlawanan dengan manfaat yang ada pada teh bagi fungsi vaskular.

Kerugian tersebut bukan hanya disebabkan oleh susu lembu sahaja, tapi juga oleh susu kacang soya. Protein dalam susu kacang soya juga menghapuskan antioksidan teh. Kerana itu jika ingin mendapatkan manfaat kesihatan dari teh, sebaiknya teh dan susu tidak dicampurkan dan diminum secara berasingan.

Sumber: kompas.com

Doktor dilatih gunakan ubat tradisional



Ikatan Doktor Indonesia (IDI) dengan Badan Penelitian dan Pengembangan (Balitbang) Kementerian Kesihatan mengembangkan kursus penggunaan ubat tradisional di kalangan doktor.

"Doktor yang ingin memberikan ubat herba kepada pesakitnya mesti mengikuti kursus selama 120 jam. Untuk tahap awal 50 jam. Doktor yang lulus kursus ini boleh menggunakan jamu sebagai ubat," kata Ketua IDI Prijo Sidipratomo ketika ditemui di Konferensi Ubat Tradisional ke-3 ASEAN di Solo, Isnin (31/10/2011).

Para doktor juga disebut Prijo harus terdaftar di Dewan Kedoktoran untuk memastikan mereka terlindungi secara undang-undang dan juga memastikan bahawa masyarakat juga terlindungi. "Kalau doktor ingin gunakan ubat tradisional, doktor harus diadvokasi terlebih dahulu. Kita telah menyusun bahan training dengan Balitbang (Badan Penelitian dan Pengembangan)," ujarnya.

Untuk saat ini, penggunaan ubat tradisional menurut Prijo masih dalam tahap pengubatan komplementer (pelengkap), belum sebagai pengubatan utama. "Selain membuat orang menjadi sihat, kita (doktor) juga menjaga seseorang yang sihat tetap agar sihat. Itu yang dapat didorong dengan jamu," katanya.

Penelitian lebih lanjut menurutnya dapat digunakan untuk mendorong ubat tradisional menggantikan ubat moden, setelah keampuhan dan kualitinya dapat dipastikan melalui standardisasi.

Kehadiran ubat tradisional seperti jamu, diakui Prijo, tidak boleh diabaikan kerana telah ada sejak ratusan tahun yang lalu di tengah masyarakat. "Kebanyakan kita juga telah menggunakan jamu. Sekitar 95 peratus di antaranya menggunakan jamu sebagai pencegahan," katanya.

Sementara itu, Konferensi Pengubatan Tradisional ASEAN ke-3 yang berlangsung di Solo, Jawa Tengah, sejak 31 Oktober-2 November itu membahaskan mengenai integrasi pengubatan tradisional ke dalam sistem pengubatan dengan memperhatikan keampuhan, ketersediaan, dan kualiti dari ubat tradisional.

Sumber: kompas.com

Rohana positif lawan kanser ovari


Tiada kata yang mampu diucapkan mana-mana wanita apabila disahkan menghidap penyakit kanser melainkan gambaran kematian yang terlintas di fikiran.

Pemikiran mereka seolah-olah sudah ditanam dengan kepercayaan bahawa sesiapa sahaja yang menghidap kanser tidak mempunyai usia yang panjang.

"Persepsi itu sebenarnya salah kerana Allah sudah menjanjikan yang terbaik buat kita sekiranya kita berusaha."

Itulah bicara awal Rohana Rabu @ Mahat, 36, ketika berkongsi pengalamannya menghidap kanser ovari.

Pada awalnya, Rohana sendiri berat hati dan malu untuk bercerita.

Namun, katanya, dia berharap kisah ini dapat memberi semangat kepada pesakit lain melawan kanser.

"Dengan izin Allah, keadaan kesihatan saya semakin baik. Mula-mula dulu saya seperti wanita lain, sedih, malu dan hampir berputus asa. Namun, saya yakin dengan ketentuan Tuhan, setiap penyakit pasti ada ubatnya. Saya berusaha berjumpa pakar dan mencari rawatan alternatif," ujarnya yang bertugas sebagai guru.

Empat tahun lalu, Rohana disahkan menghidap kanser ovari peringkat ketiga.

Seperti tidak percaya dengan berita itu, Rohana cuba bangkit dan mencari semangat baru dalam hidupnya.

Ujian
Selepas menjalani ujian pemeriksaan kesihatan, Rohana perlu melakukan pembedahan segera.

Rohana bersyukur kerana segalanya berjalan lancar dan seperti pesakit kanser lain, dia kemudian menjalani rawatan kemoterapi.

"Tuhan sahaja tahu sakitnya ketika itu. Namun saya positifkan diri untuk melawan sakit. Saya berpantang dari segi penjagaan makanan dan hanya bergantung pada ubat selama empat tahun. Kemudian suatu hari, saya mencuba suplemen herba setelah disarankan oleh seorang kawan. Dengan izin Allah, kesihatan saya semakin baik terutamanya aspek kecergasan fizikal. Walaupun begitu, saya tetap berpantang makan kerana takut rahim menjadi bengkak semula," ujarnya ketika ditemui di An Nabaat Sdn. Bhd, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Tambah Rohana, dia dimaklumkan faktor pemakanan dan genetik menjadi punca terbesar kanser ovari.

Justeru, Rohana lebih berhati-hati soal pemakanan. Nasihatnya, walau sibuk dengan kerjaya, setiap orang perlu elakkan makanan segera dan banyakkan makanan organik atau sihat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Kehidupan hari ini berbeza dengan dulu kerana semua perlu dilakukan segera. Masa pun berjalan dengan pantas. Oleh itu, kita perlu bijak mengurus masa dan jadual diri supaya kita juga mempunyai masa berehat yang sempurna.

Selain itu, kita perlu kembali kepada amalan semula jadi sebagai umat Islam. Untuk menjadi positif, banyakkan amal ibadat seperti solat sunat dan membaca al-Quran. Itu semua akan menjadi penawar terbaik kepada setiap pesakit," katanya mengakhiri bicara.

Sumber: utusan.com.my

Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Mingguan Malaysia, pada Ahad 2/9/2012